Perginya Bintang Nostalgia, Wahid Satay Meninggal Dunia Pagi Ini. Ditemukan Tidak Bergerak Atas Katil

Pelakon dan pelawak veteran Wahid Satay dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Singapura pada pukul 8.30 pagi Isnin.

Berita pemergian pelakon berusia 93 tahun itu disahkan oleh oleh cucunya iaitu Mahirah Mohd Yasin yang memberitahu Allahyarham ditemui dalam keadaan sudah tidak bergerak di atas katil sekitar pukul 8.30 pagi.

Kata Mahirah, Allahyarham mempunyai penyakit kencing manis dan jantung, malah dimasukkan ke hospital pada April lalu akibat jangkitan di jari kaki dan disahkan doktor mengalami serangan jantung ringan.

” Selepas Allahyarham balik dari hospital, dia kelihatan okay saja dan bahkan, semangat untuk beraya dengan anak dan cucunya,” katanya seperti dilapor Mediacorp.

Sementara itu, menerusi perkongsian beberapa rakan seniman di laman Facebook, jenazah Allahyarham boleh dilawati buat kali terakhir di Teban Gardens Road, Teban View, Singapura.

Jenazah akan disolatkan di Masjid Pusara Aman selepas Zohor sebeum dikebumikan.

Terdahulu, tersebar berita dalam kumpulan WhatsApp tanpa disebutkan secara terperinci.

” Assalamualaikum. Dukacita dimaklumkan, dunia seni kehilangan seorang lagi bintang nostalgia, Seniman Wahid Satay atau Abdul Wahid bin Ahmad kembali ke rahmatullah sekitar jam 8 pagi pada 22 Mei 2023 di Singapura pada usia 93 tahun.

” Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, Aamiin. Al-Fatihah,” kata kenyataan itu.

LIHAT VIDEO

Untuk info, kerjaya lakonan Wahid bermula ketika bekerja di studio Cathay Keris di Singapura sebagai tukang cat sebelum ditawarkan menjadi pelakon tambahan dalam filem Pertaruhan sekitar tahun 1940-an.

Kehebatan Wahid yang boleh meniru suara haiwan seperti ayam, burung merupakan satu kelebihan apabila suaranya sering kali digunakan sebagai latar belakang bagi filem-filem tertentu.

Di sebalik kerjanya sebagai tukang cat, sifat humor yang ada pada diri Wahid menyebabkan pengarah L. Krishnan mula mengesan kelebihan itu sebelum dia ditawarkan berlakon filem.

Antara filem-filem terkenal yang pernah dibintanginya termasuk Pontianak, Sumpah Pontianak, Che Mamat Parang Tumpul, Badang, Naga Tasik Chini, Dendang Perantau dan Tuan Besar.

Berita pemergian tersebut dikongsikan oleh beberapa seniman lain dalam Facebook yang turut memaklumkan jenazah boleh dilawati buat kali terakhir di Teban Gardens Road, Teban View, Singapura.

Difahamkan, jenazah Wahid atau nama lengkapnya Abdul Wahid Ahmad akan dikebumikan di Pusara Aman pada pukul 1 tengah hari ini.

Sumber:hmetro dan mstar

Advertisement

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*