
Jarak usia 38 tahun bukan halangan untuk Mohamed Saman dan Nur Arelya Azahar menyemai cinta dan membina mahligai rumah tangga.
Sebaliknya, keikhlasan dalam perhubungan menyatukan mereka yang sah bergelar suami isteri pada 13 November 2020.
Kasih sayang antara pasangan itu dapat dilihat menerusi video dimuat naik Nur Arelya di TikTok baru-baru ini hingga rata-rata netizen kagum melihat kemesraan mereka.
Menurut Nur Arelya, 24, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berkahwin pada usia muda sebelum ini kerana sibuk dengan kerja.
Bagaimanapun, Nur Arelya menerima ketentuan Ilahi yang menentukan jodohnya dengan pasangan yang jauh lebih berusia.
Mengimbas detik awal pertemuan, Nur Arelya berkata, dia berkenalan dengan suami yang berusia 64 tahun kira-kira empat tahun lalu ketika bekerja sebagai pembantu di sebuah restoran.
” Suami selalu singgah makan di situ jadi daripada situ, kami berkenalan.
” Mulanya suami sebagai pelanggan saja namun lama kelamaan nampak dia beranikan diri tegur saya dan nyatakan hasratnya untuk berkenalan.
” Awal 2020, suami luahkan perasaannya terhadap saya dan ajak kahwin.
” Pada mulanya saya tak layan tetapi jadi lembut hati dan menerimanya selepas melihat kesungguhannya serta tahu statusnya yang sudah menduda sejak kematian isteri pada 2018,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Nur Arelya, dia ada tiga tahun pengalaman menjaga bapanya, Azahar Mohamad Noor yang meninggal dunia pada Mac 2020 akibat bengkak belakang badan berikutan penyakit Raja Satong (bisul banyak mata).
Justeru, Nur Arelya yakin tiada masalah untuknya menjaga dan menguruskan keperluan suami yang menghidap diabetes.
” Lagipun, saya juga adalah pesakit bipolar dan tak boleh tinggal berseorangan terutama dalam gelap.
” Suami pula selalu bagi sokongan jadi saya yakin dia tidak akan biarkan saya sendiri malah kami akan jaga satu sama lain,” katanya.
Berhubung perkongsiannya di TikTok, Nur Arelya berkata, terlalu ramai yang mendoakan kebahagiaannya dan suami walaupun tidak mengenali mereka secara peribadi.
” Kebanyakannya positif dan saya ucapkan terima kasih atas doanya, semoga yang baik juga berbalik kepada mereka.
” Bagaimanapun, ada juga yang kecam dengan mengatakan saya terima suami kerana hadap wang pencen suami selain persoalkan kemampuan saya menjaganya (suami).
” Saya terima saja apa pun komen dilemparkan kerana niat saya berkongsi video di TikTok adalah untuk mencipta kenangan, tak lebih daripada itu,” katanya.
Sementara itu, suaminya, Mohamed yang juga pesara pembantu operasi Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu berkata, dia tidak terfikir untuk mencari pengganti selepas kematian isteri.
” Cuma, saya duduk rumah seorang diri, nak makan dan minum pun payah.
” Jadi, saya bersyukur selepas dipertemukan dengan isteri yang sudi menerima saya walaupun sudah berusia dan yakin dia dapat jaga saya sehingga akhir hayat,” katanya.
Sumber:hmetro
Leave a Reply