
Pelawak Ali Puteh kini aktif dalam bidang perniagaan dengan menjual pakaian kanak-kanak dan minyak wangi sebagai cara menambah pendapatan.
Ali atau Syed ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata, dia juga tidak menyangka sambutan diberikan pelanggan memandangkan hanya menjual menerusi video siaran langsung di TikTok.
” Alhamdulillah sambutan diterima sangat memberangsangkan sejak saya mula berniaga bulan puasa dan Alhamdulillah tiada sebarang masalah setakat ini.
” Saya ambil pendekatan membuat jualan di laman sosial sebab saya ada anak kecil dan lebih mudah menggunakan laman sosial untuk berniaga.
” Macam-macam saya jual sebenarnya cuma buat masa ini saya memfokuskan pakaian kanak-kanak dan minyak wangi,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Ali berkata, meskipun sudah kurang dapat tawaran berlakon namun dia tetap bersyukur dapat menceburi bidang perniagaan.
Malah dia kini sedang mencari lokasi sesuai untuk membuka kedainya sendiri tidak lama lagi.
” Tawaran berlakon ada cuma kurang tapi rezeki berniaga Alhamdulillah dapat sambutan. Insya Allah akan buka kedai atas permintaan pelanggan yang mahu membeli secara terus pakaian dan minyak wangi,” ujarnya.
Pada Jun tahun lalu, media melaporkan Ali Puteh hanya mendapat satu tawaran menjayakan program TV dengan bayaran sebanyak RM300 saja dalam tempoh dua tahun sejak 2020.
Ali ketika ditemui berkata, tawaran itu diterima pada Ramadan lalu untuk program mengaji Al-Quran di mana dia perlu membaca beberapa surah Al-Quran menerusi panggilan video.
” Itu saja tawaran diterima dalam tempoh itu. Saya dapat token bayaran sebanyak RM300,” katanya.
Ali berkata, sepanjang tempoh itu, dia menggunakan wang simpanannya untuk bertahan meneruskan kehidupan bersama keluarganya.
” Dua tahun lebih tak ada ‘job’ (tawaran kerja). Untuk program Muzikal Lawak Superstar dan Maharaja Lawak Mega di Astro itu lain sebab komuniti pelawak kecil.
” Tapi, untuk tawaran lain seperti lakonan, pengacaraan dan sebagainya, memang tak ada langsung.
” Dua tahun saya gunakan duit yang saya ada untuk bertahan dan kami berjimat cermat. Saya ada isteri dan anak yang perlu dibesarkan dan setakat ini, masih diberikan kelengkapan yang mencukupi bagi membesarkan mereka,” katanya kepada Harian Metro.
LIHAT VIDEO DIBAWAH
Ali yang pernah bertugas sebagai pengawal keselamatan turut mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 menerusi pengeluaran khas KWSP yang diluluskan kerajaan, baru-baru ini untuk dijadikan modal perniagaan dan membantu kehidupannya sekeluarga.
” Saya jadikan modal untuk perniagaan daging. Kalau nak diikutkan, jumlah RM10,000 itu tidak mencukupi, namun, saya buat ikut kemampuan saya.
” Kali terakhir saya mencarum adalah pada 2009 ketika saya masih bertugas sebagai pengawal keselamatan suatu ketika dahulu,” katanya.
Bagaimanapun, Ali bersyukur apabila dia mula menerima tawaran berlakon dan bakal muncul dalam sitkom Lot 69 yang akan ditayangkan di saluran Awesome TV bermula 11 Jun ini.
Sumber:mstar dan hmetro
Leave a Reply