‘Orang Kaya Baharu’, Bonnie Bakal Bergelar Jutawan Selepas Menang Emas

Atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin bakal menjadi ‘Orang Kaya Baharu’ selepas memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, hari ini menerusi acara powerlifting kategori bawah 72 kilogram (kg).

Pada aksi yang berlangsung di Tokyo International Forum itu, Bonnie melakukan angkatan dengan bebanan seberat 228kg, sekali gus mencipta rekod baharu temasya tersebut.

Justeru, berdasarkan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) sedia ada, atlet yang berjaya meraih pingat emas akan menerima RM1 juta, RM300,000 perak dan RM100,000 gangsa sejak 2012.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, ganjaran yang akan diterima setiap pemenang pingat masih sama seperti edisi sebelum ini.

” Ya, ganjaran yang akan diterima Bonnie sebagai pemenang pingat emas masih sama seperti edisi Rio sebelum ini, iaitu RM1 juta. Bagaimanapun, kali ini ada sedikit penambahan daripada penaja.

” Oleh itu, setiap pemenang pingat akan menerima ganjaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) serta pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media secara maya semalam.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau akan berbincang dengan pihak kerajaan berhubung ganjaran kepada setiap pemenang.

” Apa yang saya sering sebutkan, amat penting untuk kerajaan fikirkan langkah untuk mantapkan kebolehan atlet serta bagaimana mahu pastikan kehidupan mereka lebih terjamin selepas karier tamat.

” Saya akan berbincang dengan kementerian dan kerajaan untuk berikan ganjaran yang baik kepada atlet yang mengharumkan nama negara. InsyaAllah ada ganjaran itu dan kita akan umumkan kemudian,” ujarnya.

Dalam laporan FWD Takaful Berhad dilaporkan bakal memberi insentif RM100,000 kepada pemenang pingat emas, RM50,000 kepada pemenang pingat perak dan RM30,000 untuk pemenang gangsa.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ganjaran daripada kerajaan Sarawak menunggu Bonnie serta atlet Sarawak lain yang berjaya membawa pulang pingat.

” Pasti akan ada ganjaran dari kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat untuk Bonnie serta semua atlet yang berjaya memenangi pingat tanpa mengira warnanya di Sukan Paralimpik Tokyo 2021,” kata Abdul Karim.

Bonnie Bunyau Gustin

Tempat lahir: Kampung Baru Mawang, Sarawak
Tarikh lahir: 3 Jun 1999 (22 tahun)
Sukan: Powerlifting

Pencapaian:

Sukan Paralimpik Tokyo 2020 (kelas 72kg) – Emas
Piala Dunia Para Powerlifting Dubai 2021 – Emas
Piala Dunia Para Powerlifting Bangkok 2021 (kelas 72kg) – Emas
Kejohanan Dunia Para Powerlifting Nur-Sultan 2019 (kelas 65kg lelaki) – Emas
Sukan Para Asia Jakarta 2018 (kelas 65kg lelaki) – Emas

Sumber:k0smo dan bharian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*